19 Tempat Percutian Menarik Di Terengganu.

Terengganu merupakan salah satu negeri di Pantai Timur Malaysia yang sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara. Negeri ini sememangnya cukup terkenal dengan pulau dan pantainya yang indah selain daripada makanannya yang unik dan enak. Terengganu juga sangat sinonim dengan keropok lekor, namun selain keropok lekor sebenarnya terdapat banyak lagi makanan lazat lain di negeri ini. Selain itu, penyu pun ibarat trademark kepada negeri indah ini. Sebut je penyu mesti teringat Terengganu kan.

Sebenarnya selain penyu dan keropok lekor yang menjadi identiti negeri ini,  negeri Terengganu juga mempunyai pelbagai lagi kelebihan dan keindahan sama ada dari segi keindahan alamnya, makanannya serta budayanya. Ok, untuk artikel kali ini jom kita lihat tempat-tempat menarik yang terdapat di negeri Terengganu Darul Iman ni. Mungkin boleh memberi anda idea ke mana perlu anda singgah sekiranya anda berhasrat bercuti di negeri Terengganu ini. Ok, jom mula.

#1- PULAU PERHENTIAN

Tempat menarik di Terengganu- Pulau Perhentian

Sumber gambar : www.reddit.com

Kita mulakan dengan pulau. Terengganu sememangnya antara negeri yang terkenal dengan keindahan pantai dan pulaunya. Salah satunya ialah Pulau Perhentian. Pulau Perhentian merupakan antara pulau yang terkenal dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara. Pulau Perhentian terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar.

Bagi mereka yang inginkan lebih privacy, Pulau Perhentian Besar adalah sesuai untuk anda, namun bagi mereka yang inginkan suasana lebih meriah, Pulau Perhentian Kecil lebih serasi untuk anda. Ini adalah antara perbezaan di antara Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar secara ringkasnya.

Yang pastinya, Pulau Perhentian memang pulau yang cantik. Sangat sesuai untuk percutian keluarga dan juga sebagai lokasi bulan madu. Kalau ada yang bercadang nak bercuti di pulau ini, boleh klik sini untuk info lebih lanjut.

#2- TAMAN TAMADUN ISLAM

Tempat menarik di Terengganu- Taman Tamadun Islam

Antara replika monumen yang terdapat di Taman Tamadun Islam. Sumber gambar : beautifulterengganu.com

Taman Tamadun Islam merupakan taman yang mengumpulkan banyak monumen atau replika bangunan ikonik Islamik serata dunia. Luasnya sekitar 10 hektar. Terdapat 22 replika bangunan terkenal seperti Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Kota Lama Isla Alepo, Kubah As Sakhra dan banyak lagi di sini.

Memang menarik dan replika disini di bina hampir sama dengan bangunan asal cuma saiznya saja yang berbeza. Ada bayaran dikenakan untuk memasuki taman ini. Untuk maklumat lebih lanjut tentang waktu operasi dan alamat lengkap Taman Tamadun Islam ini boleh klik di sini.

Baca lagi : Lokasi Menarik di Shah Alam

#3- MASJID KRISTAL

Tempat menarik di Terengganu- Masjid Kristal

Sumber gambar : Tempat Menarik

Masjid Kristal terletak tidak jauh daripada Taman Tamadun Islam. Jadi kalau dah datang Taman Tamadun Islam jangan lepaskan peluang untuk datang bersolat di sini disamping melihat keindahan masjid unik ini. Istimewanya masjid ini dibina hanya dengan menggunakan besi, kristal dan kaca. Untuk ke masjid ini anda perlu melalui Jambatan Sultan Mahmud atau menaiki River Cruise. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk melawat masjid ni ye kalau dah sampai ke Terengganu.

#4- PASAR PAYANG

Tempat menarik di Terengganu- Pasar Payang

Sumber gambar : orangterengganu.com

Pasar Payang merupakan pasar yang sangat terkenal dalam kalangan pelancong luar dan dalam untuk mendapatkan pelbagai barangan dari negeri Terengganu. Contohnya keropok lekor, batik, periuk belanga, hasil laut Terengganu. rempah nasi dagang dan sebagainya. Boleh lah datang sini kalau berhasrat untuk membeli belah atau membeli buah tangan kepada sahabat atau keluarga. Boleh rambang mata dibuatnya.

#5- KAMPUNG LOSONG

Tempat menarik di Terengganu- Kampung Losong

Sumber gambar : Pelancongan Terengganu

Datang Terengganu tak lengkap rasanya kalau tak memborong keropok lekor untuk di bawa pulang. Salah satu tempat yang boleh dijadikan lokasi untuk membeli keropok lekor yang sedap ialah di Kampung Losong. Kampung ini hanya terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari bandar Kuala Terengganu. Lokasinya tidak terlalu jauh dari Taman Tamadun Islam.

Menariknya, Kampung Losong ini merupakan kampung yang telah diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor di Terengganu. Ramai orang yang sering datang ke sini untuk membeli keropok lekor terutamanya ketika cuti umum dan cuti sekolah. Jadi, bagi sesiapa yang berhasrat membeli keropok lekor dalam kuantiti yang banyak, boleh singgah di sini. Pasti berbaloi.

#6- PUSAT SAINS KREATIVITI TERENGGANU

Tempat menarik di Terengganu- Pusat Sains Kreativiti Terengganu

Sumber gambar : Info Terengganu Darul Iman

Pusat Sains Kreativiti Terengganu ini merupakan tempat yang sesuai untuk mengisi minda anak-anak. Ibaratnya sambil bercuti dapat mengisi sesuatu ilmu baru berkaitan sains. Lokasinya berdekatan dengan Kampung Laut, Chendering. Di sini ada pelbagai informasi berkaitan sains yang disampaikan dalam bentuk kreatif. Contohnya, melalui permainan kanak-kanak. Ada bayaran masuk dikenakan. Boleh klik di sini untuk informasi lanjut berkaitan waktu operasi dan alamat penuh.

#7- MUZIUM NEGERI TERENGGANU

Tempat menarik di Terengganu- Muzium Negeri Terengganu

Sumber gambar : Jom Jalan

Khas untuk anda peminat muzium atau sejarah, boleh datang ke Muzium Negeri Terengganu yang terletak di Bukit Losong, Kuala Terengganu. Reka bentuk muzium ini adalah berdasarkan seni bina rumah tradisional Terengganu yang dipanggil Rumah Tele ( Rumah Tiang).

Muzium ini terbahagi kepada lima bahagian iaitu Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, Taman Botani dan 4 Rumah Rekaan Tradisional. Kalau dah datang Terengganu tu, bolehlah singgah sini ye. Boleh menambah ilmu pengetahuan tentang sejarah lama. Boleh klik Muzium Negeri Terengganu untuk maklumat yang lebih lanjut.

#8- PANTAI TOK JEMBAL

Tempat menarik di Terengganu- Pantai Tok Jembal

Sumber gambar : Dhiafah Homestay

Terasa nak mandi manda dengan keluarga? Apa kata anda datang ke Pantai Tok Jembal yang terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu. Kat sini jugak banyak gerai yang menjual macam-macam jenis makanan terutamanya makanan yang sinonim dengan Terengganu seperti keropok dan sate ikan. Nak naik kuda pun ada di sini. Sesuai untuk santai pada waktu petang.

#9. MASJID TENGKU TENGAH ZAHARAH

Tempat menarik di Terengganu- Masjid Terapung

Sumber gambar : Pelancongan Terengganu

Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Terapung oleh sebab masjidnya kelihatan seolah-olah terapung atas air. Kalau datang Kuala Terengganu jangan lepaskan peluang untuk menunaikan solat di sini disamping melawat masjid ini.

#10- TAMAN AWAM LAGUN KUALA IBAI

Tempat menarik di Terengganu- Taman Awam Lagun Kuala Ibai

Sumber gambar : Cari Destinasi

Kalau nak cari tempat rekreasi untuk bersantai pada waktu petang pula, kat sini merupakan antara tempat yang sesuai. Sebenarnya kawasan sini terletak dekat saja dengan Masjid Terapung tadi. Taman ini mengadap muara Sungai Ibai. Kawasan sini redup kerana terdapat banyak pokok.

Sesuai untuk bersantai sambil menghirup angin petang disini. Sambil-sambil tu boleh makan makanan yang ringkas tapi sedap seperti keropok lekor dan sate ikan yang ada dijual oleh peniaga disekitarnya.

#11- PUSAT BUDAYA KRAFT TERENGGANU

Tempat menarik di Terengganu- Pusat Budaya Kraft Terengganu

Sumber gambar : PKKM Terengganu

Terengganu juga merupakan salah satu negeri yang begitu popular dengan kraftangannya yang menarik. Pusat Budaya Kraft Terengganu terletak di Kawasan Perindustrian Chendering dan destinasi ini sangat sesuai untuk anda melihat sendiri produk kraft dari negeri ini seperti ukiran kayu, songket, sutera dan pelbagai lagi kraft yang menarik.

Ada ruang demonstrasi untuk tatapan pelancong jadi boleh lah pelancong melihat sendiri proses sesuatu kraft itu dihasilkan. Menarik kan. Jadi bila datang Terengganu jangan lepaskan peluang datang sini ok.

#12- CHINATOWN

Tempat menarik di Terengganu- Chinatown

Sumber gambar : Beautiful Terengganu

Chinatown merupakan lokasi yang menarik yang boleh anda kunjungi sekiranya datang ke Kuala Terengganu. Terdapat banyak lukisan mural yang berwarna warni di sini dan setiap mural ada ceritanya yang tersendiri.

Boleh dikatakan sebagai tempat yang insta-worthy jugak bak kata orang sekarang. Jadi yang sedang mencari tempat menarik untuk bergambar kat Terengganu selain pemandangan bandar, pantai dan pulaunya, ini adalah salah satu lokasinya.

#13- KAMPUNG RHU 10

Tempat menarik di Terengganu-Kampung Rhu 10

Sumber gambar : foursquare.com

Pernah dengar istilah ICT? Bagi yang berasal dari Terengganu mungkin istilah ini biasa, namun bagi pelancong mungkin akan ada yang tertanya-tanya apa itu ICT. Istilah ICT merujuk kepada Ikan Celup Tepung yang sangat popular di Terengganu ni dan bagi yang ingin merasai keenakan ICT, boleh datang Ke Kampung Rhu yang terletak di Setiu.

Terdapat beberapa gerai yang menjual ICT dan juga hasil laut lain seperti udang, sotong, malah keropok lekor pun akan dicelup tepung dahulu sebelum digoreng. Menarik bukan? Jadi datanglah sini untuk merasai keenakan masakan berasaskan celup tepung. Makan panas-panas, cicah pula dengan sos…wahhh tak perasan dah sapa lalu kat sebelah rasanya.

#14- DATARAN SHAHBANDAR

Tempat menarik di Terengganu-Dataran Shahbandar

Sumber gambar : terengganuunik.blogspot

Tempat yang sesuai untuk bersantai sambil menikmati keenakan makanan. Malam-malam pun best juga lepak disini sebab dapat merasai hembusan angin yang mendamaikan.

Terdapat banyak gerai yang menjual aneka makanan disini dari waktu petang sehinggalah pada waktu malam. Jadi untuk yang sedang mencari kawasan lepak santai di sekitar Kuala Terengganu, dataran ini adalah antara jawapannya.

#15- KOTA LAMA DUYUNG

Tempat menarik di Terengganu- Kota Lama Duyung

Sumber gambar : Beautiful Terengganu

Jika anda seorang yang begitu minat dengan sejarah lama, ini adalah destinasi yang perlu anda kunjungi. Lokasi Kota Lama Duyung ini terletak di Pulau Duyung Kecil iaitu sekitar 7 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Binaan rumah warisan ini sangat unik.

Ia dibina dengan menggunakan campuran putih telur, tanah liat, batu kelikir dan madu sahaja, tanpa simen. Unik kan. Ok kalau anda nak tahu lebih lanjut tentang Kota Lama Duyung ini, boleh klik di sini.

#16- PANTAI BATU BURUK

Tempat menarik di Terengganu- Pantai Batu Buruk

Sumber gambar : Thatofarahz via Jom Jalan

Pantai Batu Buruk terletak di Kuala Terengganu. Tidak jauh dari Hospital Sultanah Nur Zahirah. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan di sini selain bersantai menikmati angin laut, seperti menunggang kuda dan juga menaiki buaian. Bab makan, jangan risau kerana banyak restoran menarik disekitarnya.

#17- DESA MURNI

Tempat menarik di Terengganu- Desa Murni

Sumber gambar : nuhazhafir012.blogspot.com

Kalau anda dah puas berjalan, dan tiba-tiba rasa nak membeli belah barangan tekstil datanglah sini. Desa Murni ini boleh dikatakan sebagai lokasi membeli belah bagi wanita sebab terdapat banyak pilihan pelbagai jenis kain pasang, tudung, kain batik dan macam-macam lagi.

Desa Murni juga dikenali sebagai lokasi pusat tudung muslimah yang besar di Pantai timur. Jadi untuk sesiapa nak beli buah tangan berbentuk kain atau pakaian untuk mak ayah ke, saudara mara atau kawan-kawan ke, boleh lah datang sini ye.

#18- KOMPLEKS KRAFT NOOR ARFA

Tempat menarik di Terengganu- Kompleks Noor Arfa Batik

Sumber gambar : Kanta Sipi/ Dari Alor Teratai ke Geliga

Satu lagi tempat yang menarik untuk dilawati khusunya buat pencinta seni batik. Tempat ini juga dapat memberi peluang kepada anda untuk lebih mengenali tentang seni ukiran batik. Selain itu, anda juga boleh membeli belah batik-batik disini.

#19- TASIK KENYIR

Pemandangan tasik pada waktu awal pagi. Sumber gambar : Tasik Kenyir House Boat

Selain pulau, pantai dan percutian sekitar bandar, di Terengganu juga terdapat tasik indah dan terkenal untuk anda kunjungi. Tasik Kenyir merupakan antara tasik yang terkenal di Malaysia dan sering menjadi pilihan pelancong apabila datang bercuti di Terengganu. Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di asia Tenggara. Luasnya ialah 260,000 hektar.

Lokasi tasik ini di kawasan barat daerah Hulu Terengganu. Tasik Kenyir juga menjadi pilihan mereka yang kaki pancing kerana terdapat perkhidmatan bot seperti rumah disini. Selain itu banyak lagi tarikan yang terdapat di tasik ini seperti Taman Santuari Kelah, Kenyir Waterpark, Air Terjun Langsir dan banyak lagi.

Baca lagi : Kenali Pulau Rawa

Best kan Terengganu. Banyak betul tempat menarik yang boleh dikunjungi di sini. Jadi kalau nak datang bercuti kat Terengganu, pastikan datang lama-lama sikit tau, baru puas berjalan. Sehari dua saja tak cukup untuk menerokai keindahan negeri ni. Selain keindahan pulau dan pantai, pastikan bila anda datang sini, anda menerokai keenakan makanannya sekali. Semoga artikel ini dapat membantu anda yang bercadang untuk bercuti di Terengganu tu. Selamat bercuti dan semoga bermanfaat.

Suka Dengan Artikel Ini? LIKE & SHARE Sekarang. Ingin dapatkan lebih banyak info menarik dan pakej-pakej percutian murah dalam dan luar negara? Daftar secara percuma dibawah. Hanya masukan NAMA & EMEL anda.

 

SUKA DENGAN ARTIKEL INI?

Mahu Dapatkan Lebih Banyak Info Tips & Destinasi Travel Menarik Serta Pakej Travel Murah? Daftar Sekarang. Hanya Masukan NAMA & EMAIL Secara PERCUMA

Leave a Reply

error: Content is protected !!