Leftenan Adnan, Kisah Keberanian Wira Bangsa dan Negara

Leftenan Adnan-01

Leftenan Adnan merupakan satu nama besar dalam sejarah negara kita. Kisah Leftenan Adnan ini juga pernah difilemkan. Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke 61 tahun, penulis ingin mengajak pembaca untuk lebih mengenali wira negara kita ini menerusi sejarah yang terlakar. Teruskan pembacaan sehingga ke akhirnya kerana semangat yang ada pada Leftenan Adnan ini wajar kita contohi untuk menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang benar-benar sayangkan tanah airnya.

Kisah bermula dengan seorang anak kelahiran Kampung Sungai Ramal, Kajang Selangor yang lahir pada tahun 1915 bernama Adnan ini sememangnya mempunyai minat yang mendalam untuk menjadi seorang tentera. Itu adalah cita-citanya sejak kecil. Beliau pernah bertugas sebagai seorang guru pelatih, namun atas minat yang mendalam terhadap bidang ketenteraan beliau telah mengambil keputusan untuk menyertai Rejimen Askar Melayu pada usia 18 tahun, sekitar tahun 1933.

Baca lagi : Beza Pasport Merah Dan Biru

Beliau pernah terpilih sebagai rekrut terbaik dan pada tahun 1936 beliau telah dinaikkan ke pangkat sarjan. Selepas itu beliau dinaikkan pula ke pangkat Sarjan Mejar dan dihantar ke Singapura untuk menjalani latihan untuk naik ke pangkat Leftenan Muda. Semasa menjadi Leftenan Muda, beliau dilantik sebagai Ketua Platun Ke-7 iaitu Kompeni C. Kemudian beliau dinaikkan ke pangkat Leftenan.

Kehebatan Leftenan Adnan mula terserlah ketika zaman Perang Dunia Kedua. Pada waktu tersebut Jepun sedang berusaha meluaskan jajahan ke beberapa negara termasuklah Tanah Melayu dan juga Singapura.

Leftenan Adnan-02

Pada tarikh 13 Februari 1942, pasukan tentera Jepun telah menyerang Permatang Pasir Panjang. Lokasi berkenaan menerima serangan yang sangat sengit daripada tentera Jepun namun Leftenan Adnan dan pasukannya iaitu Kompeni C telah meberikan tentangan yang kuat sehingga memaksa pasukan tentera Jepun berundur.

Pada waktu itu sebenarnya pasukan tentera Jepun adalah lebih ramai daripada pasukan Askar Melayu, namun Askar Melayu yang diketuai oleh Leftenan Adnan berjaya mempertahankan kawasan berkenaan dan Jepun terpaksa menerima hakikat sukar menembusi pertahanan Askar Melayu.

Leftenan Adnan-03

Pada keesokan harinya iaitu 14 Februari 1942, Kompeni C yang diketuai Leftenan Adnan diarahkan untuk ke Bukit Candu. Bukit Candu merupakan lokasi pertahanan yang strategik dan merupakan benteng terakhir untuk memasuki Singapura. Leftenan Adnan diberi kepercayaan oleh pihak atasan untuk mempertahankan lokasi penting berkenaan atas kredibiliti dan kewibawaannya yang bukan calang-calang.

Pada petang 14 Februari 2014, Leftenan Adnan merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila terlihat sekumpulan askar berbaju tentera Sikh daripada Tentera British-India namun cara pergerakan mereka tidak seperti kebiasaan. Mereka lazimnya bergerak dalam kumpulan berempat namun pada petang itu kelihatan pergerakan dalam kumpulan tiga orang.

Leftenan Adnan menyedari sesuatu yang bersifat tipu daya daripada pihak musuh dan sememangnya betul, pihak Jepun melakukan penyamaran dengan memakai pakaian tentera Sikh. Menyedari helah berkenaan, Leftenan Adnan dan anggotanya melepaskan tembakan sehingga 20 tentera Jepun terkorban.

Dua jam selepas itu, tentera Jepun datang kembali melakukan serangan besar-besaran dengan kehadiran lebih ramai anggota. Walaupun askar Jepun ramai dan bilangan Askar Melayu lebih kecil namun Leftenan Adnan dan pasukan berusaha berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan kawasan berkenaan daripada dirampas pihak Jepun.

Walaupun ramai Askar Melayu terkorban ketika pertempuran berkenaan namun mereka berjaya membunuh 800 tentera musuh. Koperal Yaakob, iaitu salah seorang Askar Melayu yang terselamat sempat menyaksikan Leftenan Adnan diseksa dengan ngeri oleh pihak askar Jepun yang merasa dendam dengan keberanian dan kehebatan pasukan Askar Melayu di bawah pimpinannya yang berjaya membunuh ramai anggota mereka (askar jepun).

Jenazahnya diperlakukan dengan kejam oleh pihak musuh, dikatakan digantung di pokok ceri, ditikam dan lehernya dikelar. Satu perkara yang sangat menyedihkan namun kehebatan dan jasa Allahyarham Leftenan Adnan pasti akan sentiasa dikenang sebagai wira bangsa dalam lipatan sejarah negara. Leftenan Adnan meninggal dalam usia 27 tahun.

Kisah tentang keberanian seorang tentera yang bernama Leftenan Adnan dalam mempertahankan tanah air kita sehingga ke hujung darah terakhir perlu dikenang. Semangat, keberanian dan rasa cinta mendalam terhadap negara yang ada pada Allahyarham Leftenan Adnan perlu dicontohi oleh semua warganegara Malaysia terutamanya golongan muda yang bakal menentukan masa hadapan negara ini kelak.

Baca lagi : Kenali Jurang Mariana, Titik Paling Dalam Di Muka Bumi.

Jadikan kisah Leftenan Adnan ini sebagai inspirasi kepada kita untuk mempertahankan tanah air daripada pihak luar yang tidak berkenaan. Semoga Allahyarham Leftenan Adnan dan semua askar pimpinannya yang terkorban semasa mempertahankan Bukit Candu ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman dan para syuhada.

Suka Dengan Artikel Ini? LIKE & SHARE Sekarang. Ingin dapatkan lebih banyak info menarik dan pakej-pakej percutian murah dalam dan luar negara? Daftar secara percuma dibawah. Hanya masukan NAMA & EMEL anda.

 

SUKA DENGAN ARTIKEL INI?

Mahu Dapatkan Lebih Banyak Info Tips & Destinasi Travel Menarik Serta Pakej Travel Murah? Daftar Sekarang. Hanya Masukan NAMA & EMAIL Secara PERCUMA

Leave a Reply

error: Content is protected !!