Ini Jenis-jenis Passport Yang Terdapat Di Malaysia.

jenis-jenis pasport

Untuk ke luar negara, rakyat Malaysia perlu memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang berkaitan. Antara yang wujud dan yang paling utama ialah Pasport Malaysia Antarabangsa iaitu buku berwarna merah, seterusnya Pas Sempadan iaitu buku berwarna biru, Dokumen Perjalanan Kumpulan iaitu buku berwarna hijau tua dan satu lagi iaitu Pasport Terhad ke Brunei, berwarna biru gelap.

Ada satu lagi yang penulis nak beritahu, iaitu tentang buku berwarna hijau juga, tapi hijau lain di akhir artikel. Jadi baca sampai habis ye. Sebenarnya, apakah perbezaan antara jenis pasport dan dokumen perjalanan ini? Jom teruskan bacaan, penulis akan terangkan. Kita mulakan dengan Pasport Malaysia Antarabangsa yang berwarna merah tu dulu.

#1- PASPORT MALAYSIA ANTARABANGSA (BUKU MERAH)

 

jenis-jenis pasport-01

Credit Image : Road Trippers Asia

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, Pasport Malaysia Antarabangsa adalah satu dokumen perjalanan yang sah yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi maksud perjalanan keluar negara. Kelayakan untuk memohon adalah terbuka untuk semua rakyat Malaysia yang berhasrat untuk ke luar negara dan boleh memohon di semua Pejabat Imigresen di Malaysia dan sekiranya berada di luar negara, boleh memohon di Pejabat Perwakilan Malaysia.

Pasport ini berwarna merah. Tempoh sah lakunya ialah selama 5 tahun. Untuk mengetahui tentang PMA dengan lebih lanjut, klik di sini, Pasport Malaysia Antarabangsa.

Sesuatu yang menarik untuk dikongsikan, menurut Laporan Indeks 2018 yang dikleluarkan oleh firma rundingan kewangan global, Arton Capital yang berpangkalan di Montreal, Kanada, Pasport Malaysia Antarabangsa berada pada kedudukan keenam paling berkuasa di dunia ( Kosmo Online, 23 Februari 2018). Ini adalah satu pencapaian yang menggembirakan dan membanggakan rakyat Malaysia.

Satu lagi fakta menarik tentang PMA ialah pada tahun 1998, PMA merupakan pasport pertama di dunia yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan biometrik. Wow, best kan. Negara kita negara pertama guna ciri-ciri biometrik kat pasport tu. Ok seterusnya penulis nak cerita pulak tentang buku biru. Apa itu buku biru?

Baca lagi : 5 Syurga Dunia di Kashmir

#2- PAS SEMPADAN ( BUKU BIRU )

jenis-jenis pasport-02

Sumber Gambar : Jr’s Blog

Buku biru ini merupakan pas sempadan, atau dikenali juga sebagai pas lintas sempadan, pas lintas batas atau boarder pass. Walaubagaimanapun fungsinya sama saja iaitu dokumen ini membolehkan seseorang dari Malaysia melintasi sempadan negara yang bersempadan dengan Malaysia mengikut syarat-syarat tertentu. Bukan semua rakyat Malaysia layak memohon pas sempadan ini.  Pas sempadan terbahagi kepada dua iaitu Pas Sempadan Malaysia- Thailand dan Pas Lintas Batas Malaysia -Indonesia.

# Pas Sempadan Malaysia- Thailand

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, Pas Sempadan Malaysia Thailand dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap Malaysia yang berketurunan Thai yang menetap lebih dari tiga (3) tahun di Kelantan, Perlis, Kedah atau Perak. Tempoh sah lakunya ialah selama 6 bulan dari tarikh yang dikeluarkan dan tidak boleh dilanjutkan tempoh sah lakunya. Boleh digunakan beberapa kali selagi dalam tempoh sah laku tersebut. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat-syarat am dan bayarannya, boleh klik di sini, Pas Sempadan Malaysia- Thailand.

# Pas Lintas Batas Malaysia -Indonesia

Pas Lintas batas Malaysia- Indonesia ini , menurut Jabatan Imigresen Malaysia ialah merupakan satu bentuk dokumen yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap melebihi tempoh enanm (6) bulan dalam Daerah Pentadbiran, Pensiangan, Tenom, Sipitang dan Tawau dalam negeri Sabah dan Lundu, Bau, Kuching, Serian, Simanggang, dan Lubok Antu dalam negeri Sarawak.

Tempoh sah lakunya ialah satu tahun dari tarikh yang dikeluarkan dan boleh digunakan bagi beberapa kali perjalanan. Kebenaran berada di Indonesia tidak melebihi 30 hari pada setiap kali masuk. Untuk mengetahui tentang syarat-syarat am dan bayarannya boleh klik di sini, Pas Lintas Batas Malaysia- Indonesia.

#3- DOKUMEN PERJALANAN KUMPULAN ( BUKU HIJAU TUA )

jenis-jenis pasport-03

Credit Image : ima95.blogspot.com

Ada juga yang memanggilnya sebagai ‘pasport’ berkumpulan. Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, Dokumen Perjalanan Kumpulan menggantikan pasport merupakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia untuk perjalanan secara berkumpulan ( had minima 5 hingga had maksima 20 orang )ke negara-negara ASEAN sahaja kecuali negara Filipina dan Indonesia. Tempoh sah lakunya ialah sembilan (9) bulan dari tarikh yang dikeluarkan dan untuk sekali perjalanan sahaja.

Kalau sesiapa nak pergi beramai-ramai melancong ke negara ASEAN kecuali Filipina dan Indonesia tu, sesuai buat dokumen perjalanan kumpulan kalau masing-masing tak ada pasport. Lebih jimat kalau berkongsi bayar ramai-ramai kan. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang syarat-syarat am, bayaran, syarat permohonan dan senarai pejabat pengeluar Dokumen Perjalanan Kumpulan ni (DPK) bolekh klik di sini, Dokumen Perjalanan Kumpulan.

#4- PASPORT TERHAD KE BRUNEI ( BIRU TUA )

jenis-jenis pasport-04

Credit Image : thekayangangirl.blogspot.com

 

Pasport ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan untuk perjalanan ke Brunei Darussalam. permohonan boleh dilakukan di Pejabat- pejabat Imigresen di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Tempoh sah lakunya ialah lima ( 5 ) tahun dari tarikh dikeluarkan. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat permohonan dan bayarannya klik di sini, Pasport Terhad ke Brunei.

Ini antara antara dokumen perjalanan yang dikeluarkan khas untuk rakyat Malaysia. Ok, seperti yang penulis janjikan, penulis nak cerita tentang satu lagi buku warna hijau kan? Ada yang nak tahu? Teruskan bacaan ye.

Credit Image : NSTP/ Ghazali Kori

Buku hijau ni rupa fizikalnya macam pasport jugak, tapi sebenarnya bukan pasport, tapi ini adalah Buku Perkhidmatan Pelaut. Buku Perkhidmatan Pelaut merupakan satu rekod bagi menyimpan segala maklumat berkaitan pengalaman kerja bagi seorang pelaut. Permohonan perlu dilakukan di Jabatan Laut Malaysia berserta kad pelaut. Itu sedikit tentang Buku Perkhidmatan Pelaut. Penulis mengambil peluang ini untuk menerangkan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sebab rupanya je macam pasport tapi sebenarnya bukan pasport ye. Rujukan di sini, Jabatan Laut Malaysia.

Baca lagi : 10 Tempat Menarik di Uzbekistan

Ok, penulis harap anda dapat sesuatu yang bermanfaat dengan artikel ni. Jangan lupa share kat kawan-kawan ye, lagi ramai yang tahu lagi bagus. Ilmu yang baik kita kongsikan sama-sama agar terus berkembang.

SUKA DENGAN ARTIKEL INI?

Mahu Dapatkan Lebih Banyak Info Tips & Destinasi Travel Menarik Serta Pakej Travel Murah? Daftar Sekarang. Hanya Masukan NAMA & EMAIL Secara PERCUMA

Leave a Reply

error: Content is protected !!