Apakah itu “Pasport” Biru? Ketahui Beza Antara Pasport Merah dan “Pasport” Biru Yang Ramai Tak Tahu

 

Pasport Malaysia Antarabangsa dan Pas Sempadan

Sumber Gambar : Twitter

Menurut laman web Jabatan Imigresen Malaysia , Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) merupakan satu dokumen perjalanan yang sah yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kepada warganegara bagi maksud perjalanan ke negara-negara yang dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas bagi negara terlarang.

Pasport Malaysia Antarabangsa berwarna merah dan merupakan hak milik kerajaan Malaysia. Oleh sebab itu, pasport boleh ditarik pada bila-bila masa dan mahkamah boleh mengeluarkan arahan supaya pasport seseorang itu ditahan sekiranya mahkamah merasakan seseorang itu perlu dilarang keluar negara. Untuk artikel kali ni penulis nak menerangkan tentang pasport merah dan “pasport” biru ni. Nak tahu apa bezanya, teruskan membaca sampai habis ye. Kita mulakan dengan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang berwarna merah dulu.

Baca lagi : 10 Tempat Menarik di Uzbekistan

#1- PASPORT MERAH (PMA)

Pasport Malaysia Antarabangsa

Sumber Gambar : savemoretips.com

Menurut Laporan Indeks 2018 yang dikeluarkan oleh firma rundingan kewangan global, Arton Capital yang berpangkalan di Montreal, Kanada, Pasport Malaysia Antarabangsa pada kedudukan keenam paling berkuasa di dunia (Kosmo Online, 23 Februari 2018). Ini adalah satu khabar gembira buat rakyat Malaysia yang memilik PMA ini.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, Indeks Pasport ini adalah merupakan rujukan mengenai semua pasport yang diberikan penarafan berdasarkan jumlah negara yang boleh dikunjungi bagi rakyat sesebuah negara tanpa visa atau memerlukannya setibanya berada di negara berkenaan berdasarkan peraturan visa yang berkuat kuasa.

Satu lagi fakta menarik tentang PMA ialah, pada tahun 1998 PMA merupakan pasport pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan biometrik. Dan untuk versi PMA terbaru ni, ia telah ditambah baik dengan mempunyai 50 ciri keselamatan. Rekabentuknya juga lebih unik dan bercirikan mercu tanda negara, flora dan fauna serta menerapkan falsafah 5 prinsip rukun negara. ((Kosmo Online, 23 Februari 2018)

PMA ni boleh digunakan boleh digunakan untuk perjalanan ke semua negara kecuali negara yang dilarang seperti Israel. Malah dalam PMA tu memang dah bagitau siap-siap boleh masuk semua negara kecuali Israel. Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Kalau nak masuk juga Israel sebenarnya boleh tapi perlu dapat kelulusan khas daripada pihak kerajaan. Namun, bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Menarik kan PMA kita ni. Berbanggalah jadi rakyat Malaysia kerana pasport kita antara yang berkuasa di dunia.

Baca lagi : 10 Lokasi Menarik Di Turki

PMA boleh di mohon melalui semua Jabatan Imigresen di Malaysia dan di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara. Tempoh sah PMA adalah selama lima tahun. Sebelum 2015 boleh memilih untuk tempoh sah laku selama 2 tahun namun selepas tahun 2015, tempoh sah laku untuk dua tahun tidak dibenarkan lagi, hanya 5 tahun sahaja yang ada.

Selain tu, PMA ni jugak boleh digunakan untuk ke Sabah dan Sarawak. Sekurang-kurangnya boleh menambah cop kalau kita jenis yang kurang ke luar negara. Kalau nak masuk Sabah Sarawak tanpa menggunakan pasport pun boleh, kita akan diberikan sekeping kertas iaitu Pas Perjalanan Terhad, iaitu dokumen yang diberikan kepada penduduk semenanjung yang ingin datang ke Sabah atau Sarawak. Walaupun dokumen tu hanya sekeping kertas tapi perlu dijaga dengan baik bagi mengelakkan sebarang kesukaran di sana.

Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci tentang PMA termasuk senarai bayaran terkini, boleh klik di sini.

Ok tadi adalah cerita tentang PMA yang berwarna merah tu kan. Jadi sekarang persoalannya, yang “pasport biru’ macam dalam gambar tu pasport apa pulak kan? Iras-iras macam PMA juga cuma warna je lain. Ok jom penulis terangkan. Teruskan membaca ye.

#2- “PASPORT” BIRU (PASS SEMPADAN)

Pas Sempadan

Sumber Gambar : Jr’s Blog

“Pasport” biru ini sebenarnya bukanlah pasport tapi merupakan pas sempadan atau pas lintas sempadan (boarder pass). Terdapat dua jenis pas sempadan iaitu Pas Sempadan Malaysia- Thailand dan Pas Lintas- Batas Indonesia. Sebelum ini pas sempadan ini hanyalah berupa sekeping kertas yang diletakkan dokumen pemohon beserta gambar berukuran pasport namun kini bentuknya dinaik tarafkan sebagai sebuah buku berwarna biru seakan-akan bentuk pasport. Jom kita baca penerangan tentang Pas Sempadan Malaysia- Thailand dan Pas Lintas Batas Malaysia – Indonesia ini.

#Pas Sempadan Thailand-Malaysia

Bagi Pas Sempadan Thailand-Malaysia, ia dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap Malaysia yang berketurunan Thai yang menetap lebih tiga (3) tahun di Kelantan, Perlis, Kedah atau Perak(untuk Perak hanya kawasan tertentu sahaja, sila dapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Imigresen Malaysia). Tempoh sah laku adalah 6 bulan dari tarikh yang dimohon. Dalam tempoh 6 bulan berkenaan boleh digunakan untuk beberapa kali perjalanan dan tempoh sah lakunya tidak boleh dilanjutkan.

Untuk penerangan lebih lanjut tentang pass sempadan Thailand ini boleh rujuk di laman web Imigresen Malaysia, klik di sini ye, Pas Sempadan Malaysia- Thailand.

# Pas Lintas Batas Malaysia- Indonesia

Untuk Pas Lintas Batas Malaysia-Indonesia pula, dokumen ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap melebihi tempoh enam (6) bulan di dalam daerah Pentadbiran Pensiangan, Tenom, Sipitang dan Tawau dalam negeri Sabah dan Lundu, Bau, Kuching, Serian, Simanggang dan Lubok Antu dalam negeri Sarawak. Tempoh sah laku adalah satu tahun dari tarikh mula dikeluarkan dan boleh digunakan untuk beberapa kali perjalanan. Kebenaran untuk berada di Indonesia tidak melebihi 30 hari untuk setiap kali masuk.

Untuk penerangan lebih jelas tentang Pas Lintas Batas ini, boleh rujuk laman web Imigresen Malaysia, klik di sini, Pas Lintas Batas Malaysia- Indonesia.

Diharapkan penerangan tentang Pasport Malaysia Antarabangsa, Pas Sempadan dan Pas Lintas Batas ini dapat memberikan informasi yang berkaitan untuk anda yang mencari maklumat tentang ini. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci anda boleh klik link yang telah penulis sediakan. Semoga bermanfaat dan selamat memohon dokumen berkenaan sekiranya anda berhajat untuk travel atau terdapat sebarang urusan di luar negara.

Suka Dengan Artikel Ini? LIKE & SHARE Sekarang. Ingin dapatkan lebih banyak info menarik dan pakej-pakej percutian murah dalam dan luar negara? Daftar secara percuma dibawah. Hanya masukan NAMA & EMEL anda.

 

 

 

SUKA DENGAN ARTIKEL INI?

Mahu Dapatkan Lebih Banyak Info Tips & Destinasi Travel Menarik Serta Pakej Travel Murah? Daftar Sekarang. Hanya Masukan NAMA & EMAIL Secara PERCUMA

Leave a Reply

error: Content is protected !!